Selasa, 22 September 2015

PERKASA: Selesai isu biasiswa pelajar Melayu atau jumpa di mahkamah



Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah sekiranya hak pelajar Melayu di luar negara mendapat biasiswa tidak dilayan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya pihak kerajaan masih lagi berdolak dalik, tindakan mahkamah diihat satu-satunya jalan penyelesaian.
"Jika keadaan ini berterusan..pelajar tidak dapat pinjaman saya tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kerana ia hak orang Melayu dalam Akta 153 Perlembagaan Malaysia.
"Saya juga akan suruh pelajar yang sudah habis belajar tetapi tidak dapat pinjaman buat tindakan mahkamah kerana mereka berhak.
"Malah pelajar Melayu yang dapat juga tidak perlu bayar sepatutnya kerana ia hak mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Wacana Isu Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan Pelajar Melayu dan bumiputera Sabah-Sarawak Mengikut Perlembagaan Negara di sini petang ini.
Menurut Ibrahim, pelajar yang teraniaya itu kira-kira 2,500 orang dan majoritinya yang mengambil kursus farmasi, pergigian dan kedoktoran di Mesir dan Indonesia.
Ada dalam kalangan mereka mendapat bantuan pinjaman tetapi tidak mencukupi untuk membayar yuran dan meneruskan kehidupan di luar negara.
Ibrahim berkata, perkara yang berlaku sudah kritikal sehingga ada pelajar terlibat terpaksa berhenti meneruskan pengajian.
"Mereka ada yang dapat pinjaman macam pusat zakat tetapi diberi macam pakai kain pelikat..gulung-gulung nampak kaki, ditarik nampak perut..tak habis," ujarnya.
Beliau berkata, Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang menjadi salah seorang daripada panel wacana menyampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Beritahu MT ini Ibrahim Ali yang cakap dan kalau tak beri kerjasama dia akan betul-betul ambil tindakan," jelasnya.
Beliau seterusnya mengecam kenapa pinjaman PTPTN juga tidak disalurkan kepada pelajar-pelajar terbabit sedangkan ia diberi kepada pelajar swasta dalam negara ini.
Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan sumbangan wang RM20,000 kepada dua pelajar adik beradik di Perak yang mengalami masalah yang sama hari ini.
Sumbangan itu diambil daripada dana Alumni UiTM oleh presidennya, Datuk Zaini Hassan melalui kempen Dana RM1 Bilion yang sedang diusahakan oleh pengarang kanan Utusan Malaysia tersebut.--MalaysiaGazette

Tiada ulasan: