Jumaat, 28 November 2014

Kerajaan Puratakan Harga Pasaran RON95 Sebelum 1 Disember – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 Nov   – Kerajaan akan memuratakan harga pasaran dunia bagi minyak petrol RON95 sebelum pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal pada 1 Dis, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yakin kaedah pengapungan terkawal terhadap petrol RON95 bakal memberi fleksibiliti kepada rakyat untuk menikmati harga minyak lebih rendah berdasarkan kejatuhan harga minyak semasa.
“Saya dimaklumkan harga pasaran dunia bagi RON95 dijangka akan turun dalam masa beberapa hari dan setakat hari ini (27 Nov) harganya adalah pada RM2.26 seliter iaitu lebih rendah daripada harga RM2.30 yang dijual pada masa sekarang.
“Harga itu dijangka akan menurun lagi dan kami berjanji akan memuratakan harga itu sebelum 1 Dis,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan kerajaan akan menetapkan harga runcit bagi RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Dis.
Menurut Hasan, subsidi bagi RON95 akan dihapuskan dan harga minyak akan bergantung kepada harga pasaran dunia.

Pinda Hukuman Akta Hasutan 1948 Kepada Penjara Mandatori – Bekas Hakim

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kerajaan dicadang supaya membuat pindaan berkaitan hukuman mengikut Akta Hasutan 1948 dengan mengenakan hukuman penjara mandatori sebagai pengajaran kepada mereka yang menimbulkan pertelingkahan antara kaum.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah mengesyorkan agar pindaan itu tidak memperuntukkan hukuman denda, sebaliknya hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun, dan tidak melebihi 10 tahun.
Ini bagi menggantikan hukuman sedia ada iaitu denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Jangan denda, sebaliknya penjara terus kerana denda tidak menakutkan sesiapa… denda dengan wang sesiapa sahaja boleh bayar. Sifat menghasut ini sangat berbahaya kepada negara. Misalnya anak-anak muda yang sukakan kebebasan akan menentang dengan lebih kuat,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya bersempena Perhimpunan Agung UMNO hari ini berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta berkenaan.
Perdana Menteri itu berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
Mohd Noor berkata pengumuman Najib itu merupakan tindakan yang tepat dalam situasi kini yang semakin mencabar dalam menangani keharmonian kaum di negara ini.
Katanya untuk memperkukuhkan akta itu, kerajaan perlu memberi penjelasan lebih meluas berhubung perbuatan ‘menghasut’.
Beliau berkata definisi hasutan tidak seharusnya terhad kepada perbuatan ‘mempersoalkan’ isu berkaitan kedudukan agama Islam dan keistimewaan orang Melayu malah ia juga diperluaskan kepada perbuatan yang menimbulkan kegusaran orang Melayu.
Kerajaan juga, kata Mohd Noor, perlu memasukkan peruntukan undang-undang supaya rakyat tidak boleh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat, tidak boleh mempersoalkan kedudukan Askar Melayu yang hanya boleh dianggotai orang Melayu sahaja dan tidak boleh mempersoalkan tanah rizab Melayu.
“Dalam Akta Hasutan masa kini, tiada peruntukan yang menjadikan salah perbuatan mengkritik agama dan hal tanah rizab Melayu. Hal kedudukan Raja ada disentuh dalam akta ini, tetapi secara umum sahaja,” katanya.

SPNB Bina 20,000 Rumah Mampu Milik Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 20,000 unit tambahan Rumah Mampu Milik (RMM) di sekitar Lembah Klang tahun depan.
Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata rumah jenis apartmen dan kondominium itu bakal dilengkapi semua kemudahan asas dan akan dijual mengikut harga sasaran antara RM250,000 dan RM500,000.
“Bagi kawasan Lembah Klang, agak sukar kita tawar rumah dengan harga bawah RM250,000 kerana harga tanah yang mahal namun kita cuba pastikan rumah tersebut dijual di bawah RM500,000,” katanya bagi menjawab berhubung usul rumah mampu milik yang dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.
Beliau berkata SPNB juga akan membina 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara dengan harga RM65,000 seunit pada tahun depan.
Katanya RMR disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana di bawah RM3,000 sebulan dan kos pembinaan rumah itu kini tidak lagi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“RMR tidak lagi menerima pembiayaan penuh daripada kerajaan dan hanya diberi subsidi sebanyak RM20,000 dan baki kos pembinaan ditanggung oleh bank,” katanya.

JKKN Mahu Program PERMATA Seni Remaja Diiktiraf Pada Peringkat Sijil

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mahu mendapatkan pengiktirafan pringkat sijil bagi Program PERMATA Seni Remaja daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
Pengerusi Jawatankuasa Projek Perintis PERMATA Negara, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod berkata ia bertujuan agar bakat yang telah digilap khususnya dalam bidang koir, tarian dan muzik tidak disia-siakan.
“Ini bermakna bakat-bakat yang telah kita gilap apabila mereka belajar hingga Tingkatan Lima, mereka akan mendapat kemahiran yang diiktiraf KPM.
“Kita (Jawatankuasa Projek Perintis PERMATA Negara) akan berbincang dengan pihak universiti supaya mereka dapat terus memasuki universiti untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni tari, muzik dan nyanyian,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kem PERMATA Seni Tari dan Koir di sini Jumaat malam.
Beliau berkata usaha itu bagi bagi membolehkan remaja yang terlibat dengan program tersebut mendapat ijazah dan menambah JKKN kini masih dalam proses perundingan bersama KPM untuk mendapat pengiktirafan berkenaan.
Program PERMATA Seni Remaja itu diilhamkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung program tersebut.
Ia terbahagi kepada tiga cabang seni iaitu PERMATA Seni Koir dan PERMATA Seni Tari yang diselaraskan JKKN manakala PERMATA Seni Muzik diselaraskan Istana Budaya.
Program ini merupakan platform kepada kanak-kanak di Malaysia untuk mengasah dan menyerlahkan bakat semula jadi mereka sebagai generasi pelapis khususnya dalam bidang koir dan tarian.
Sementara itu Siti Aizah berkata JKKN bersama Jabatan Perdana Menteri sedang berusaha untuk mendapatkan kawasan bagi cadangan membina pusat latihan PERMATA Seni Remaja.
Seramai 169 orang menyertai Kem PERMATA Seni yang bertujuan menggilap bakat serta meningkatkan kamahiran mereka dalam bidang nyanyian, koir dan tarian.
Ia bermula dari 22 hingga 29 Nov.

(JOKOWI MAHU KARAMKAN KAPAL MALAYSIA) Thailand Tahan Lanun Warga Indonesia, Rampas Minyak Sawit