Jumaat, 29 Jun 2012

3 minggu siasat kes dinar emas


 Kementerian Kewangan memberi tempoh tiga minggu mulai semalam kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn. Bhd. (KGT).
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Adek Hussin berkata, hasil siasatan terhadap syarikat yang mengeluarkan mata wang dinar dan dirham milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu hendaklah didedahkan kepada rakyat.
"Jika rakyat tidak berpuas hati dan pertikaikan keputusan siasatan itu, pihak kementerian akan mengarahkan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti membuat siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Banglo Rakyat Malaysia peringkat daerah Bachok di Perupuk di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tiga laporan polis terhadap dakwaan salah laku membabitkan seorang daripada pegawai kanan KGT yang dibuat oleh bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad pada 31 Januari lalu; pelabur Jepun, Takao Kono (28 Mei) dan rakyat Perancis, Mohamed Esfih (1 Jun).

Ahad, 24 Jun 2012

Pelabur beli dinar emas dakwa ditipu

Seorang pelabur Jepun mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh seorang pegawai kanan di sebuah syarikat pengeluar dinar emas milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan, lapor Utusan Malaysia.


Akhbar itu mendakwa, pelabur yang dinamakan sebagai Takao Kono itu membuat laporan polis pada 28 Mei ke atas pegawai kanan syarikat Kelantan Gold Trade Sdn Bhd atas dakwaan penipuan melibatkan jumlah AS$1 juta (RM3.19 juta) itu.

"Pelabur itu dikatakan telah menyediakan wang berjumlah AS$1 juta (RM3.19 juta) dalam masa satu bulan dan kemudian membeli emas serta perak untuk program perniagaam dinar dan dirham.

"Bagaimanapun Kono kemudian ingin menarik diri daripada perniagaan tersebut selepas hilang keyakinan terhadap pegawai kanan itu, namun emas dan perak yang dibelinya dikatakan telah dihantar ke Kazakhstan," laporan akhbar itu dipetik.

Satu lagi laporan polis didakwa dibuat oleh seorang individu warga Perancis, dinamakan sebagai Mohamad Esfih pada 1 Jun terhadap pegawai sama, atas keraguan mengenai aktiviti keagamaan pegawai berkenaan.

Laporan polis ketiga, bertarikh 31 Januari, didakwa dibuat ke atas pegawai kanan terbabit oleh seorang bekas pengarah eksekutif syarikat berkenaan, dinamakan sebagai Nik Mahani Mohamad.

Laporan polis itu dibuat atas dakwaan salah laku oleh pegawai kanan tersebut ketika menjawat jawatan penting di syarikat terbabit, lapor akhbar itu lagi.