Isnin, 22 Jun 2015

Konflik Gaza 2014: Rejim Zionis dan Hamas tolak laporan PBB

gaza


Rejim Zionis mendakwa kononnya ia mempertahankan diri daripada serangan Hamas dan bertindak mengikut piawaian antarabangsa tertinggi, ketika perang selama 50 hari tercetus pada Julai 2014 yang mengorbankan lebih 2,200 rakyat Palestin. - Foto arkib AP

BAITULMUQADDIS, 22 Jun:

Israel pada Isnin menolak penemuan dalam satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang rejim Zionis mungkin telah melakukan jenayah perang dalam konflik Gaza tahun lalu.
“Dalam mempertahankan diri daripada serangan, tentera Israel bertindak mengikut piawaian antarabangsa tertinggi,” demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Israel yang dipetik Reuters.
Menurut rejim Zionis, penemuan dalam laporan itu gagal membezakan “tingkah laku bermoral” Israel dan tindakan-tindakan “organisasi ganas” Palestin yang dihadapinya sepanjang perang selama 50 hari itu.
Pada masa sama, Hamas turut menolak laporan PBB itu yang mendakwa Hamas mungkin melakukan jenayah perang, dengan melepaskan roket ke beberapa bandar dan kampung di negara Yahudi itu.
Pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad yang dipetik AP menegaskan, roket dan mortar disasarkan ke tapak-tapak ketenteraan rejim Zionis, bukannya ke atas orang awam.
Hamas menyifatkan penyiasat PBB tidak mampu membezakan pembunuh dan mangsa.
Laporan PBB itu mendapati, kedua-dua pihak, iaitu Yahudi dan Hamas mungkin terbabit dalam jenayah perang sepanjang konflik yang tercetus sejak Julai tahun lalu.
Statistik PBB dan pegawai Palestin menunjukkan, lebih 2,200 rakyat Palestin, termasuk ratusan orang awam terbunuh sepanjang perang itu, manakala 73 orang, termasuk enam kanak-kanak maut di Israel.

Tiada ulasan: