Isnin, 20 April 2015

(TERBAIK) Pizza Hut MANSUH Caj perkhidmatan




KUALA LUMPUR 17 April – Pizza Hut Malaysia memansuhkan bayaran 10 peratus bagi caj perkhidmatan kepada pelanggan sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memansuhkan caj tersebut dalam industri hotel dan makanan.
Pengurus Besar Kanan, Pizza Hut Malaysia, Low Kang Moon berkata, Pizza Hut komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tanpa membebankan mereka.
Ujarnya, pemansuhan tersebut sah sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh pihak Pizza Hut.
“Dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) baru-baru ini, pelanggan kini lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang mereka.
“Pelanggan kini boleh menikmati hidangan di Pizza Hut dengan selesa tanpa perlu membayar tambahan 10 peratus untuk caj perkhidmatan, ia sebagai langkah untuk memastikan pelanggan akan terus dapat menjamu selera tanpa perlu risau dengan caj dan cukai yang dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan rangkaian Signature Series Pizza Hut di sini semalam.
Yang turut hadir, Chef Selebriti Nik Michael Imran Nik Ezar.
Pizza Hut melancarkan rangkaian Signature Series yang menampilkan piza-piza yang diberikan sentuhan chef, termasuk piza berbentuk segi empat yang diuli dengan tangan.
Signature Series turut menampilkan gabungan tiga keju istimewa iaitu cheddar, provolone dan mozzarella.
“Signature Series merupakan rangkaian piza eksklusif daripada Pizza Hut yang dicipta dengan citarasa hebat pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM12 sahaja.
“Objektif kami adalah untuk memastikan pelanggan berpeluang menikmati piza berkualiti pada harga yang amat berpatutan,” katanya.
Signature Series dari Pizza Hut boleh didapati di restorannya bermula 17 April 2015 sementara stok masih ada.

Tiada ulasan: