Isnin, 22 Jun 2015

Atlaoui tidak akan ditembak pada Ramadan – Janji Jakarta

atlaoui


Sebuah mahkamah Indonesia hari ini menolak rayuan terakhir hukuman mati Atlaoui. Ramai berpendapat, keputusan itu bakal mencetuskan kemarahan Perancis. - Foto arkib Reuters

JAKARTA, 22 Jun:
Jakarta berjanji tidak akan melaksanakan hukuman mati pada Ramadan ini, ke atas seorang warganegara Perancis yang gagal dalam rayuannya hari ini.
Sebuah mahkamah Indonesia pada Isnin menolak rayuan Serge Atlaoui terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Ini bermakna dia adalah warga asing terbaru yang berdepan hukuman mati untuk kesalahan dadah.
Atlaoui yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kilang menghasilkan pil ecstasy di pinggir bandar Jakarta, pada 2005, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mendakwa dia ingatkan dirinya bekerja di sebuah kilang akrilik.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara Indonesia, Tony Spontana memaklumkan, Atlaoui sudah kehabisan pilihan.
“Tiada jalan lain untuk peguamnya, jadi hukuman mati sudah tentu akan dilaksanakan. Tetapi, yang pasti, ia tidak akan dilaksanakan pada Ramadan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang petunjuk berhubung tarikh Atlaoui bakal berdepan skuad menembak.
Sementara itu, Nancy Yuliana Sunjoto yang mewakili Atlaoui berkata, pihaknya tetap akan mencari saluran lain untuk membantu anak guamnya.
“Kami kecewa dengan keputusan mahkamah ini. Dari mula lagi, kami tahu dia tidak bersalah.
“Dia tidak tahu apa-apa mengenai bahan kimia. Dia hanya seorang juruteknik kimpalan,” katanya.
Atlaoui diberi penangguhan hukuman pada saat-saat akhir yang menyaksikan hanya tujuh banduan asing lain ditembak mati pada 29 April lalu.
Keengganan Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi pengampunan, sekalipun rayuan demi rayuan dikemukakan kerajaan banduan asing terbabit yang menyebabkan hubungan Jakarta dengan beberapa negara lain, termasuk Australia, Brazil, Belanda dan Nigeria tegang.
Di bawah pentadbiran Jokowi, seramai 14 banduan yang kebanyakannya warga asing telah dijatuhkan hukuman mati, sepanjang tahun ini.

Tiada ulasan: