Isnin, 22 Jun 2015

HBO tayang tiga siri baharu serentak

hbo1-m


Dengan tayangan tiga siri televisyen baharu iaitu True Detective, Ballers dan The Brink secara serentak setiap malam Isnin bermula pukul 9 malam di saluran HBO (411) dan HBO HD (431), ia dilihat sebagai salah satu cara untuk HBO terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu saluran televisyen terbaik di dunia.

KUALA LUMPUR, 22 Jun:

Sebagai salah sebuah saluran yang sentiasa memberikan santapan hiburan terbaik buat penonton setia mereka, selama lebih dua dekad bersiaran, HBO dilihat tidak pernah gagal memberikan program dan siri televisyen terbaik.
Trek rekod cemerlang mereka menerusi beberapa siri televisyen terbaik mereka seperti Sex and the City, Entourage, True Blood, Girls, Boardwalk Empire dan Veep telah membuktikan HBO mempunyai standard tersendiri.
Dalam usaha untuk meneruskan legasi mereka, HBO kini muncul dengan tiga buah siri baharu iaitu musim kedua True Detective, Ballers dan The Brink yang telah pun ditayangkan secara serentak dengan Amerika Syarikat setiap hari Isnin bermula hari ini pukul 9 pagi tadi.
Namun, bagi mereka yang tidak berkesempatan menontonnya pada siaran waktu pagi, usah khuatir kerana siaran ulangannya akan ditayangkan pada waktu perdana di saluran HBO (411) dan HBO HD (431) bermula pukul 9 malam ini.
Selepas kejayaan siri pertamanya yang mendapat pujian ramai dan memenangi lima anaugerah Emmy daripada 12 pencalonan yang diterima, True Detective kembali untuk musim kedua yang lebih mendebarkan dan dramatik.
Ditunjangi nama-nama besar Hoollywood seperti Colin Farrell, Vince Vaughn, Rachel McAdams dan Taylor Kitsch, memang tidak dapat dinafikan lagi True Detective kali ini lebih mantap dan mampu untuk memberikan kepuasan buat penonton.
actor3-m
Colin Farrell dikatakan telah memberikan lakonan yang mantap dalam musim kedua True Detective. – Foto HBO
Secara ringkasnya, musim kedua ini akan memperlihatkan perkembangan watak seorang detektif bermasalah, Ray Velcoro (Farrell) yang berada di dalam dilema antara dunia pekerjaannya yang bermasalah dan perlu memenuhi tuntutan seorang ketua penjenayah yang memilikinya.
Dalam masa yang sama, Frank Semyon (Vaughn), seorang penjenayah dan ahli perniagaan berhadapan dengan bahaya apabila tindakannya untuk melakukan perniagaan haram menjadi kucar-kacir lantaran kematian salah seorang rakan kongsinya.
Kemudian muncul pula Ani Bezzerides (McAdams) dan Paul Woodrugh (Kitcsh) yang melengkapkan lagi jalan cerita apabila mereka dipertemukan dalam satu kejadian yang merungkaikan segala misteri.
Seterusnya, pada pukul 10 malam pula, peminat pelakon lelaki berbadan sasa yang merupakan bekas ahli gusti terkenal, The Rock atau kini mahu dikenali dengan namanya, Dwayne Johnson pastinya tidak mahu ketinggalan menonton siri, Ballers.
actor1-m
Buat pertama kalinya, Dwayne Johnson menceburkan diri dalam dunia televisyen sebagai seorang pelakon dan penerbit bagi siri Ballers. – Foto HBO
Menariknya, siri yang dicipta oleh Stephen Levinson yang sebelum ini mencipta siri televisyen, Entourage untuk HBO itu menyaksikan lakonan pertama Johnson dalam dunia televisyen.
Bukan itu sahaja, Johnson yang merupakan pelakon filem San Andreas itu juga bertindak sebagai penerbit eksekutif Ballers di samping Mark Whalberg dan Levinson sendiri.
Dalam siri itu, Johnson memegang watak sebagai seorang bekas bintang football ternama Amerika Syarikat, Spencer yang mahu kembali ke persada sukan dengan menjadi seorang pengurus kewangan kepada sebuah pasukan football di Miami.
Di sinilah, Spencer bertemu dengan pelbagai ragam jenis dan karakter manusia yang terlibat dalam bidang sukan football yang akan membawa penonton untuk melihat bagaimana Spencer menghadapi situasi yang berlegar dalam dunia itu.
Selain Johnson, Ballers yang diterbitkan sebanyak 10 episod untuk musim pertama itu turut dibintangi John David Washington, Omar Miller dan Donovan Carter.
actor2-m
Salah satu aksi Jack Black dalam siri komedi, The Brink yang akan ditayangkan setiap hari Isnin pukul 10.30 malam. – Foto HBO
Untuk melengkapkan lagi penontonan malam Isnin anda, pastikan juga anda tidak ketinggalan menonton The Brink yang ditayangkan pada pukul 10.30 malam sebaik sahaja Ballers menamatkan tayangannya.
Pastinya, peminat siri dark comedy akan tertarik dengan siri baharu sebanyak 10 episod ini sementalah ia dibintangi oleh aktor komedi terkenal, Jack Black di samping bekas pemenang Oscar, Tim Robbins di mana kedua-duanya juga bertindak sebagai penerbit.
Siri yang dicipta oleh Roberto Benabib dan Kim Benabib itu secara ringkasnya mengisahkan tentang konflik yang mula tercetus apabila seorang pengganas mula mengambil alih kuasa Pakistan dan berkuasa ke atas senjata nuklear negara itu.
Disebabkan konflik itu, jalan penyelesaiannya kini terletak di bahu tiga individu penting dalam pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat yang seterusnya menyaksikan gelagat dan telatah dalam menyelamatkan dunia daripada tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Tiada ulasan: