Isnin, 22 Jun 2015

Nama Melayu pada MyKad undang kekeliruan agama Heng

heng


Heng menunjukkan kad pengenalannya dan Syed Othman menunjukkan dokumen rasmi dan laporan polis mengenai masalah yang dihadapi Heng di sidang akhbar hari ini. - Foto TRP/Ben Tan

JOHOR BAHRU, 22 Jun:

Hampir empat dekad, nama di kad pengenalan (MyKad) Heng Kim Lan mendatangkan kemusykilan dan pada masa-masa tertentu menjadikan hidupnya susah.
Heng, 50, seorang penjual makanan dikenali sebagai Fauziah Osman dalam semua dokumen rasmi.
Malah, agamanya dinyatakan sebagai Islam di dalam MyKad.
Heng yang mempunyai sembilan adik beradik mendakwa beliau tidak pernah memeluk agama Islam malah mengamalkan agama itu walaupun di MyKadnya tertera agama rasmi sebagai Islam.
“Saya bukan mahu menghina mana-mana pihak tetapi menyatakan di sini status saya bahawa saya tidak pernah memeluk atau mempraktikkan agama Islam walaupun mempunyai nama Islam.
“Ibu dan adik beradik yang lain beragama Buddha, malah ada yang beragama Kristian. Hanya saya dan adik lelaki saya ditukar agama kepada Islam,” katanya ketika sidang media di Kelab Media Cina Johor Bahru.
Turut hadir timbalan pengerusi Persatuan Anak Warisan Johor, Syed Othman Syed Abdullah untuk mendengar masalah Heng.
Heng yang berasal dari Tajung Sedili, Johor mendakwa nama ‘Fauziah Bt Osman’ seperti yang tertera dalam MyKad diberikan oleh arwah bapanya ketika mendaftarkannya ketika dia berusia dua tahun.
“Bapa saya Heng Jee Peng @ Osman Abdullah, memeluk agama Islam ketika saya masih kecil pada tahun 1957 dan dia tidak memberitahu keluarga mengenai penukaran agama itu.
“Beliau turut menukar nama adik beradik kepada nama Melayu tanpa keizinan ibu dan keluarga yang lain,” dakwanya dan menambah adik beradik yang lain hanya mengetahui selepas mereka mendaftar untuk kad pengenalan dengan Jabatan Pendaftaran Negara ketika mereka berusia 12 tahun waktu itu.
Sejak itu adik beradik yang lain menukar nama mereka sebagai usaha untuk mengelak kekeliruan berkenaan status agama mereka.
Selain adik lelakinya, Heng berkata hanya beliau dan seorang lagi abangnya yang masih mengekalkan nama Melayu di MyKad masing-masing.
Heng yang masih belum berkahwin berkata, disebabkan nama Melayu dan status agama di MyKad itu yang menyebabkan dia masih bujang.
“Status MyKad itu turut menyebabkan salah faham antara saya dan bekas teman lelaki,” katanya dan berkata ia menyebabkan mereka putus hubungan.
Sementara itu, Syed Othman berkata persatuannya telah meminta bantuan Jabatan Pendaftaran Negara berkenaan masalah Heng tetapi diminta merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Johor dan mahkamah syariah untuk tindakan selanjutnya.
“Kami berharap masalah Heng akan dapat diselesaikan. Kekeliruan mengenai agama ini perlu diselesaikan kerana Heng tidak pernah mempraktikkan ajaran Islam seumur hidupnya,” katanya.

Tiada ulasan: