Pelakon jelita berbakat besar, Nad Zainal mempunyai sebab tersendiri apabila mengambil tindakan memadam beberapa keping gambar yang telah dimuat naik di laman Instagram miliknya, baru-baru ini. - Foto Instagram Naz Zainal (@nad.zainal)
KUALA LUMPUR, 22 Jun:
Tindakannya memadam beberapa keping gambarnya bersama seorang lelaki di laman Instagram miliknya telah mengundang tanda tanya dan persoalan di kalangan peminat serta pihak media.
Namun, bagi pelakon muda berbakat besar, Nad Zainal menjelaskan dia mempunyai alasan tersendiri apabila dia berbuat demikiannya. Bagi Nad, semuanya adalah mahu menjaga hati kawannya itu.
“Apabila saya memuat naik gambar saya bersama kawan saya itu, saya hanya mahu berkongsi kegembiraan kami dalam melakukan aktiviti yang kami senang lakukan bersama.
“Namun, apabila saya melihat ia lebih banyak mengundang kata-kata negatif berbanding positif, saya membuat keputusan untuk memadamkan kesemua gambar-gambar itu kerana mahu menjaga hatinya.
“Barangkali cara saya bergaul dengan kawan saya itu telah mengundang perasaan puas hati pada segelintir pengikut saya sedangkan itulah cara sebenar kami mahu menunjukkan persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama,” jelas Nad ketika ditemui pada sidang media pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Pun begitu, pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin ini menafikan dia dan kawan lelakinya itu mempunyai hubungan istimewa sebaliknya mereka berkawan baik sejak menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (Aswara) yang kini dikenali sebagai Universiti P. Ramlee.
Bahkan kata pemenang Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 ini lagi, pelakon dan pengacara terkenal, Sherry Al Hadad juga merupakan salah seorang yang tergolong dalam kumpulan mereka.
Akui pelakon cantik ini lagi, dia dan kawannya itu pernah terputus hubungan selepas masing-masing menamatkan pengajian namun, bertemu semula baru-baru ini dan seterusnya menyambung kembali ikatan persahabatan itu.
“Keserasian kami sangat kuat dan disebabkan itu saya sangat selesa untuk berkawan dengannya. Namun, itu tidak bermakna kami bercinta dan saya sendiri pun tidak mahu mengulas lanjut tentangnya,” katanya yang juga enggan mendedahkan identiti kawannya itu dan memberitahui jejaka itu seseorang yang terlibat dengan aktiviti belakang tabir.
Sementara itu, gadis berusia 25 tahun ini juga menafikan dirinya sudah berhijrah dengan mengenakan tudung sewaktu ditemui pada sidang media tersebut.
Sambil tersenyum manis, Nad menjelaskan dia hanya menggayakan tudung di bawah jenama MissWish Wardrobe yang telah sekian lama menaja tudung untuknya dalam mana-mana drama yang dibintanginya.
“Sudah semestinya saya mahu ke arah itu (berhijab) tetapi sekarang ini bukan masanya lagi,” katanya yang akan muncul dengan dua buah telemovie sepanjang bulan Ramadan ini di TV3 dan TV9 yang berjudul Rumah Kecil Untuk Tuhan dan Dia Ibuku.
Ketika diminta tentang penglibatannya dalam Santai Lebaran Fiesta 2015 yang akan bermula pada 25 Jun ini, Nad ternyata teruja untuk berniaga di bulan Ramadan ini.
Katanya, dia sudah pun menyewa sebuah gerai untuk menjual baju kurung kapas rekaan pereka fesyen terkenal satu ketika dulu, Sharifah Kirana dan sambal kering yang menjadi kegemarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan