Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tampil sebagai panel untuk sesi "Hot Seat" #Nothing2Hide bagi menjawab persoalan dan dakwaan yang timbul sewaktu pentadbirannya selama 22 tahun.
Menurut ketuanya Badrul Hisham Shaharin, program itu bertujuan membuktikan wujud kezaliman politik pada zaman Dr Mahathir yang melibatkan isu seperti rasuah serta dakwaan beliau pernah terlibat menjatuhkan menteri lain.
"Kita beri peluang kepada Dr Mahathir menjawab sendiri dan orang ramai bertanya mengenai dakwaan yang timbul sepanjang 22 tahun pentadbirannya," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.
Sebelum itu, beliau yang juga dikenali sebagai Chegubard, menyampaikan jemputan program tersebut kepada bekas perdana menteri itu.
Chegubard berkata, Dr Mahathir bebas menetapkan tarikh dan waktu yang bersesuaian dengan jadualnya dan pihak SAMM akan menguruskan program itu sebaik sahaja menerima jawapan positif daripada negarawan itu.
Menegaskan pendiriannya, beliau menyatakan tidak pernah menyokong sesiapa sama ada Dr Mahathir atau Najib, tetapi kecewa dengan sesetengah pihak yang pernah menggelar bekas perdana menteri itu "maha firaun" dan kini "maha suci".
"Ini bukan soal menyebelahi Najib. Najib masih perlu menjawab persoalan mengenai 1MDB. Tetapi Dr Mahathir juga bukan watak hero, kerana dialah punca segala kemusnahan," katanya.
Sebelum ini SukaGuam menganjurkan forum bertajuk "Nothing to Hide" yang menjemput Najib berdialog debfab badan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu semasa termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Najib gagal menghadiri forum di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) itu yang dibatalkan atas arahan polis, memetik faktor keselamatan. – 16 Jun, 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan