Sabtu, 6 Disember 2014

Wikipedia Tulis Mr. Bean sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis




PERLIS yang tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan nyata menambah lagi rasa kecewa penyokong pasukan terhadap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang mengharapkan akan kebangkitan pada musim ini.

Prestasi tidak memberangsangkan itu menyebabkan penyokong meluahkan rasa tidak gembira dengan pelbagai cara untuk membuktikan Singa Utara masih lagi ada penyokong setia yang berdiri teguh di belakangnya.

Sebelum ini, pada setiap perlawanan di peringkat Liga Premier terdapat kelibat penyokong Perlis yang membawa kain rentang meminta PFA memberi perhatian kepada pasukan agar kegemilangan dapat dikembalikan.

Sokongan itu turut dimuatkan ke dalam media sosial seperti facebook dan perkara berkenaan berterusan sehingga ke penghujung liga.

Terbaru nama watak sitkom komedi, Mr Bean atau nama sebenarnya, Rowan Atkinson telah diletakkan pada jawatan presiden PFA menggantikan nama presiden sebenar, Datuk Rozabil Abdul Rahman di laman Wikipedia.

Perkara itu berlarutan selama dua bulan tanpa ada pihak menyedarinya. Hanya minggu lalu ia dikesan dan disunting semula oleh pihak berkaitan untuk meletakkan kembali nama Rozabil yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Prestasi tidak memberangsangkan Perlis sejak beberapa musim lalu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan.

Tiada ulasan: