Ahad, 21 Disember 2014

MENGAPA SARJANA ASING HANYA MEMINTA ORANG MELAYU ISLAM SAHAJA BERSIKAP TERBUKA?




Usaha berterusan kebelakangan ini untuk membawa masuk satu demi satu sarjana asing bagi mengajar rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam mengenai keterbukaan, liberalism, pluralism, demokrasi, hak-hak asasi manusia dan kebebasan amat diragui tujuannya. Betapa tidak, dengan sekadar beberapa kali menjejaki bumi Malaysia, itu pun di Kuala Lumpur sahaja, juga dengan sekadar berbekalkan input sebelah pihak penaja kedatangan mereka, para sarjana asing ini menilai dengan yakinnya bahawa orang Melayu Islam di Malaysia sebagai berfikiran tertutup dan berminda 'undersieged' kerana enggan menerima perubahan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sesuai dengan peredaran dunia semasa.


Malah ada yang mencadangkan dikoyakkan sahaja Perlembagaan Malaysia jika orang Melayu Islam tidak dapat menerima pemikiran liberal kerana dalam Perlembagaan itu terdapat perkataan liberal! Tidak kurang yang mengatakan orang Melayu Islam menyempitkan Islam sebagai agama untuk orang Melayu semata-mata. Begitu juga yang menyimpulkan jika orang Melayu Islam berterusan bersikap tidak toleran, Malaysia akan ketinggalan dalam dunia global yang kononnya menuju ke arah demokrasi tulin. Para sarjana asing ini berpendapat masa depan orang Melayu Islam dan negara Malaysia akan menjadi lebih cerah dan progresif sekiranya kita semua menerima dan menghayati keterbukaan, liberalism, pluralism, demokrasi, hak-hak asasi manusia dan kebebasan yang dicanangkan oleh mereka.

Menarik sekali untuk kita perhatikan bagaimana para sarjana asing ini yang ramai dari kalangan mereka berasal dari negara-negara benua Indo-Pakistan dan Arab Timur-Tengah yang menjadi imigran di negara angkat mereka di Amerika Utara dan Eropah (juga Australia), hidup sebagai golongan minoriti muslim dalam masyarakat majoriti bukan Islam ingin mengajar masyarakat negara majoriti muslim seperti kita dalam menangani masyarakat minoriti bukan Islam. Mereka sendiri adalah para penghijrah kerjaya dan kehidupan yang lebih baik dari negara-negara yang umat Islamnya tidak putus-putus bermasalah dan berkrisis. Mereka sama ada menjadi imigran generasi pertama atau generasi kedua kepada negara angkat mereka seperti AS, Kanada, UK, Negara Eropah, Australia dan seumpamanya. Kebanyakan dari mereka menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti negara angkat mereka yang diberikan 'lesen' untuk bercakap tentang Islam mengikut kehendak negara angkat mereka.

Bayangkan jika anda menjadi imigran yang berusaha untuk mendapatkan 'green card' atau status 'PR' dari negara angkat anda, untuk mendapatkan kerjaya yang ada 'tenure' dan lebih penting untuk diterima sebagai sebahagian dari ahli masyarakat negara angkat, tentu sahaja anda terpaksa mengusahakan diri anda terasimilasi, berkompromi dan merelakan untuk menerima sensitiviti dari warga asal negara tersebut lebih-lebih lagi jika warga asal itu golongan majoriti. Justeru anda tidak mempunyai pilihan lain untuk ‘survive’ melainkan bersifat ‘terbuka’ atau sebenarnya tunduk kepada kehendak golongan masyarakat asal lagi majoriti. Berbekalkan psikologi dan mentaliti golongan masyarakat minoriti Islam berminda terjajah di negara majoriti masyarakat bukan Islam, para sarjana asing ini beriya-iya mengajar masyarakat negara yang umat Islamnya majoriti seperti Malaysia ini untuk menjadi seperti mereka.

Sepatutnya, para sarjana asing ini dibawa oleh para penaja mereka untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan masyarakat bukan Islam Malaysia bagaimana sebagai golongan minoriti mereka perlu mengasimilisi, berkompromi dan merelakan untuk menerima dan meraikan sensitiviti warga asal negara ini lebih-lebih lagi jika warga asal negara ini iaitu orang Melayu Islam adalah golongan majoriti. Dan inilah yang telah sebenarnya para sarjana asing tersebut lakukan untuk diterima di negara angkat mereka. Malangnya ini tidak diberitahu oleh mereka, hanya orang Melayu Islam sahaja yang di’lecture’, dileter dan disindir oleh mereka untuk memahami, merai dan menghayati kepelbagaian, manakala masyarakat bukan Islam digambarkan seolah-olah menjadi mangsa tidak tolerannya orang Melayu Islam.

Mereka sepatutnya perlu mengetahui orang Melayu di Malaysia telah sekian lama menjalani kehidupan keislaman mereka dalam keadaan jiwa merdeka tanpa diganggu-gugat oleh orang lain hatta penjajah British pun mengiktiraf kedudukan dan peranan Islam dalam kehidupan orang Melayu. Malah Perlembagaan Malaysia itu telah dibentuk sedemikian rupa bagi menunjukkan betapa sensitifnya para penggubalnya bagi memastikan kedudukan dan peranan Islam itu sangat meluas dan meliputi bagi negara yang dinamakan Malaysia. Dan perkara ini tidak menjadi masalah sejak Malaysia merdeka. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dengan hasutan segelintir orang Melayu yang telah menjadi liberal dan pluralis yang ingin meraih kuasa politik atas undi masyarakat bukan Islam telah membangkitkan keberanian masyarakat bukan Islam untuk mempertikaikan perkara-perkara yang selama ini tidak menjadi hal bagi mereka. Kefahaman kepada latarbelakang ini amat perlu kepada para sarjana asing ini untuk mereka bersikap adil dan jujur kepada persoalan yang sedang dihadapi.

Kepada sarjana asing ini tidak pernahkah mereka mengenali orang-orang Melayu Islam yang mungkin belajar atau tinggal di negara angkat mereka untuk mengetahui sejauh mana keterbukaan dan tolerannya orang-orang Melayu Islam? Semua yang pernah melawat atau tinggal di negara-negara angkat sarjana asing ini tahu tentang wujudnya Masjid Arab, masjid salafi, masjid India,masjid Pakistan dan Masjid Bangladesh di kalangan mereka akibat tidak tolerannya mereka hatta sesama muslim pun! Malah pertengkaran dan pergaduhan antara meraka selalu sahaja berlaku di masjid-masjid tersebut. Kita tidak pernah mendengar pun ada Masjid Melayu atau Masjid Malaysia kerana orang Melayu Islam Malaysia secara umumnya senang dan tidak bermasalah untuk pergi ke masjid-masjid tersebut.

Sarjana asing ini juga patut merenungkan juga apa yang sedang terjadi di negara asal mereka sendiri di benua Indo-Pakistan dan Arab Timur-Tengah tentang situasi keterbukaan dan toleransi yang diamalkan di sana dari mencuba untuk menjadi 'pakar rujuk' atau ‘expert on Islam’ untuk mengajar orang Melayu Islam tentang erti keterbukaan dan toleransi. Wajar para sarjana asing ini bercermin diri melihat keadaan masyarakat Islam negara asal mereka sendiri sebelum menawarkan formula ajaib untuk orang Melayu Islam di Malaysia. Mereka ini umpama ketam yang diimport untuk mengajar orang Melayu Islam di Malaysia berjalan lurus sedang mereka sendiri terpaksa berjalan bengkang-bengkok untuk ‘survive’ sebagai golongan imigran minoriti di negara majoriti bukan Islam.



DR AMRAN MUHAMMAD

ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI)

Tiada ulasan: