Segalanya kerana 'keunikan' majlis tersebut. Pasangan dua sejoli itu memilih untuk mengadakan majlis mengikut adat Melayu dengan pengantin lelaki segak mengenakan baju Melayu, bersongkok dan bersamping manakala si isteri manis berbaju kebaya hijau bercampur merah jambu dan bertudung.

Biarpun tanpa iringan kompang dan pertunjukan silat pulut, majlis itu tetap menonjolkan identiti Melayu. Apatah lagi hidangannya sinonim dengan upacara kenduri masyarakat Melayu iaitu nasi minyak, kari ikan talang, ayam masak merah dan kari daging.

Sheng Leng yang mesra dipanggil Kelvin mengakui perkara itu menjadi kenangan paling manis bagi diri dan pasangannya.

"Saya sendiri tidak sangka majlis ini akan mendapat perhatian sebegini. Kami adik-beradik membesar dalam kelompok Melayu dan mempunyai banyak kawan daripada kaum ini. Jadi saya amat seronok untuk meraikan hari bahagia ini bersama masyarakat di sini melalui cara sebegini," katanya merendah diri.

Di laman sosial, banyak pihak memuji pendekatan diambil oleh Kelvin itu. Manakan tidak, konsep diketengahkan pasangan itu sebenarnya menjadi bukti betapa halangan untuk rakyat Malaysia menjadi satu sebenarnya boleh berlaku jika semua pihak boleh bertolak ansur dan saling hormat menghormati.

Menjadi satu itu tidak bermaksud rakan-rakan Cina, India atau apa jua kaum di dalam negara ini bertukar cara hidupnya menjadi Melayu. Jauh sekali mahu memaksa mereka menukar agama masing-masing kepada Islam.
Mungkin tidak ramai mengetahui latar belakang keluarga pengantin lelaki tersebut yang mana idea untuk mengadakan majlis perkahwinan sebegitu datang daripada ilham ayahnya, Soo Lian Hin, 58.

Disenangi

Lebih dikenali sebagai 'Ah Heng' dalam kalangan penduduk sekitar, beliau yang mewarisi perniagaan kedai runcit daripada bapanya di kampung itu amat fasih berbahasa Melayu dengan dialek Kedah.

"Kami dah lama duduk di sini dan kawan rapat saya ramai yang Melayu. Jadi saya mahu raikan kawan-kawan saya di kampung ini sempena majlis perkahwinan anak," katanya dalam nada cukup ceria ketika dihubungi baru-baru ini.
Di laman Facebook, salah seorang penduduk kampung 'mendedahkan' sikap sebenar Ah Heng yang membuatkannya amat disenangi masyarakat setempat.

"Bro ni dekat rumah aku. Dia ni Ah Heng, orang Cina yang boleh hidup di tengah-tengah ribuan orang Melayu. Daripada aku kecil sehingga umur aku sekarang dekat 30 (tahun), dia tak pernah pindah.

"Dia dah lama buka kedai runcit. Tengah-tengah malam buta telefon suruh hantar barang, dengan motor Honda 60 tu dia pecut.

"Semua orang Melayu (di) sini suka dia. Anak dan isteri dia semua rajin tolong dia. Kalau dia tak sihat, anak lelaki dia yang kahwin tu pecut hantar barang. Mana dapat cari Cina macam ni Bro? Ah Heng 'legend' Bukit Tinggi, Tok Jalai, Kedah,"

Sebenarnya, masih ramai orang Cina yang bersikap begitu malah tidak sukar mencarinya. Ramai orang Cina di luar sana yang sebenarnya berhati mulia serta saling menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa. Malah tidak terkecuali, jiran penulis sendiri yang ringan tulang membantu dalam apa jua keadaan dan keluarga kami amat rapat serta saling mengenali.
Namun begitu terdapat segelintir mereka yang berasa tidak senang dengan tindakan Ah Heng ini melangsungkan perkahwinan dalam budaya Melayu.

Mungkin terpengaruh dengan tindakan pihak tertentu yang senantiasa mengapi-apikan hubungan antara kaum serta mencari jalan supaya kita berpecah sesama sendiri.
Dalam komen yang diberikan di laman sosial oleh seorang dikenali sebagai Hari Dass MRhayabusa yang menulis dalam bahasa Inggeris maksudnya: "Maaf, tidak bermaksud bersifat perkauman. Jika kaum lain mengikut perkahwinan tradisi Melayu atau majlis lain, ia dianggap 1Malaysia. Tetapi jika Melayu mengikut konsep tradisi masyarakat lain, dipanggil haram".

Dalam soal ini tidak timbul siapa baik, siapa haram dan sebagainya. Ini adalah satu keunikan yang hanya boleh dilihat di Malaysia. Hasil perpaduan dan rasa hormat yang timbul dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi yang telah memungkinkan kita semua hidup aman damai dan sejahtera.

Maka tidak salah atau berdosa sekalipun jika semua pihak saling meraikan upacara perkahwinan walaupun di luar adat dan budaya masing-masing demi menghargai kerukunan masyarakat berbilang bangsa yang boleh hidup bersama walaupun ditunjangi orang Melayu.