Sabtu, 6 Disember 2014

Padah maki, kasari polis



JOHOR BAHRU – Seorang pemandu teksi ditahan ekoran tindakannya memaki dan mengasari seorang anggota polis bantuan dalam kejadian di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi apabila pemandu teksi berkenaan enggan mematuhi arahan polis bantuan yang mengarahkannya beredar dari kawasan itu.

“Ketika kejadian, pemandu teksi tiba-tiba meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan dan diminta beredar oleh seorang anggota polis bantuan yang bertugas di situ.

“Bagaimanapun, pemandu teksi berkenaan berdegil dan tidak mahu mengalihkan kenderaannya. Dia juga bertindak memaki polis berkenaan dan menarik kolar baju yang dipakai anggota itu selain turut menendangnya,” katanya.

Katanya, keadaan menjadi semakin tegang dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga anggota trafik yang bertugas datang ke tempat kejadian untuk meleraikan keadaan.

“Pemandu teksi berkenaan telah ditahan dan kini masih disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sebelum itu, video berdurasi kira-kira 10 saat yang memaparkan pergaduhan antara anggota polis dan  seorang pemandu teksi di Bangunan CIQ berkenaan mula tersebar di laman sosial dan menarik perhatian ramai.

Tiada ulasan: