Sabtu, 6 September 2014

GTR DESAK NUCC DIBUBARKAN



Penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (NUCC) adalah satu kesilapan yang paling besar yang telah dibuat oleh Najib Razak dalam menterjemah "National Reconcillation" yang diucapkan sebaik menyambut kemenangan Barisan Nasional pada PRU13 yang yang lalu. 
NUCC kini bakal menjadi isu besar yang perlu umum mengetahui. 
Penubuhan 30 ahli majlis NUCC hanya 12 daripada mereka adalah melayu dan daripada 12 tersebut 6 daripada mereka dikenali sebagai melayu liberal yang bersetuju agar LGBT diberikan pengiktirafan sebagai kesaksamaan gender yang jauh menyimpang daripada akidah Islam. 
Jauh daripada itu NUCC kini mengistiharkan Majlis mereka sebagai "Penasihat" perpaduan Nasional kepada Kerajaan dengan menyediakan Rang Undang Undang akta keharmonian dimana tindakan mereka telah mendapat persetujuan daripada "Peguam Negara".

Belum ada dalam sejarah setiap undang undang yang bakal diluluskan oleh kabinet dan parlimen digubal oleh sebuah Majlis yang tidak pernah diberikuasa tersebut.
Ini jelas menunjukan bahawa tindakan melampau NUCC bakal mengundang ketidakselesaan kepada majority umat melayu yang sekaligus menghina Islam sebagai agama persekutuan dengan memberikan ruang seluas luasnya agar kerajaan mengiktiraf Lesbian, Gay, Bisexsual dan Transgender sebagai kesaksamaan fikrah manusia yang Allah jadikan hanya lelaki dan perempuan. 

Jika Majlis ini tidak dibubarkan oleh kerajaan Najib Razak maka Negara bakal ditimpa malapetaka besar dan sebagai umat Islam kewajiban kita adalah menentang dan mendesak agar "Reconcillation Najib Razak' ini ditentang sehabis habisnya bagi mengembalikan sebuah negara Islam yang selama ini telah memayungi keharmonian kaum dan penghormati amalan perbezaan Agama dikalangan rakyat Malaysa. 
Jika ini gagal dilakukan maka sudah sampai masanya Najib Razak berundur kerana segala kerosakan ini adalah hasil dari pemikiran beliau yang lebih liberal dari segala liberalisma yang ada hadnya didalam Islam. - Gerakan Tranformasi Rakyat


Petikan ucapan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Wacana Islam dan Cabaran Semasa sempena Majlis Berbuka Puasa NGO-NGO Islam.

RUU HARMONI HANYA HELAH MANSUHKAN AKTA HASUTAN

Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?

Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. 

Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. 


Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!


Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.

Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.

PERKARA PELIK TENTANG RUU HARMONI, APA NAJIB SEDANG BUAT

Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. 

Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.


Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di sini?

Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?

Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?

Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.

Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”

“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:

“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”

Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika ada kes.

Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang tersirat.

Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan.Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:

“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”

Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?

Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.

Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?

Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.

MELAYU BUKAN MAHUKAN HAK ORANG LAIN

Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?

Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.

Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.

Kesimpulannya:

1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.


2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.


3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.


4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.


5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).


6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.


7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.


8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.


9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.


10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat dikekalkan.


Tiada ulasan: