Isnin, 22 Jun 2015

Uighur berang China anjur pesta bir di daerah Islam

mnum


Jurucakap Kongres Uighur Dunia mengecam penganjuran pesta bir di Daerah Niya yang disifatkan sebagai provokasi terbuka terhadap kepercayaan Islam. - Foto hiasan shutterstock

BEIJING, 22 Jun:
Penganjuran pesta bir menjelang ketibaan Ramadan di sebuah daerah yang didiami umat Islam di Wilayah Xinjiang, mencetuskan kemarahan etnik Uighur yang disifatkan sebagai provokasi terbuka.
Pesta bir itu diadakan di sebuah kampung di Daerah Niya, selatan Xinjiang yang didiami ramai etnik Uighur beragama Islam.
Kerajaan Niya dalam laman webnya memaklumkan, pertandingan minum bir itu yang diadakan pada Isnin lalu, tiga hari menjelang Ramadan, dihadiri lebih 60 petani dan penternak muda.
“Pertandingan minum bir ini adalah berbeza dan menghiburkan.
“Tujuannya ialah menggunakan budaya moden bagi memeriahkan kehidupan di kampung, mengecilkan ruang untuk promosi agama haram…dan menjamin keharmonian dan kestabilan di kampung,” demikian tulis pihak berkuasa tempatan dalam laman web yang turut menyatakan, wang tunai 1,000 yuan ditawarkan kepada pemenang.
Seorang penduduk kampung berpendapat, aktiviti itu adalah baik, kerana dapat memeriahkan musim pertanian yang sibuk dan menghilangkan kepenatan mereka.
Dalam pada itu, jurucakap Kongres Uighur Dunia, Dilxat Raxit mengecam penganjuran pesta itu.
“Ini adalah provokasi terbuka terhadap kepercayaan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, media kerajaan dan laman web kerajaan Xinjiang turut menyiarkan semula berita dan notis yang meminta ahli Parti Komunis, penjawat awam, pelajar dan guru supaya tidak menyambut Ramadan dan berpuasa.
Ramadan adalah bulan sensitif di Xinjiang, selepas beberapa serangan sejak tiga tahun lalu yang menyebabkan ratusan individu membakar diri mereka sehingga maut, namun Beijing menyalahkan tindakan itu ke atas militan Islam.
Parti Komunis China menegaskan, ia melindungi kebebasan beragama, tetapi akan mengawal aktiviti agama dan hanya institusi yang diiktiraf kerajaan boleh beroperasi di negara itu.
China mempunyai kira-kira 20 juta umat Islam di seluruh negara itu, namun hanya sebahagian kecil terdiri daripada etnik Uighur.

Tiada ulasan: