Isnin, 22 Jun 2015

Tugas baru Remy Ishak sepanjang Ramadan

04 (1)


Mengakui agak teruja menjadi penganjur untuk Santai Lebaran Fiesta 2015, Remy Ishak berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang Ramadan ini bagi menumpukan perhatian kepada penganjuran acara itu yang akan bermula pada 25 Jun hingga 16 Julai ini di perkarangan Istana Budaya. - Foto TRP/Wan Kah Hoong

KUALA LUMPUR, 22 Jun:

Melihatkan kepada sambutan luar biasa yang diberikan oleh masyarakat terhadap Car Booth Sale yang dicetuskan oleh pelakon dan pengarah wanita terkenal, Erma Fatima di perkarangan Istana Budaya (IB) tahun lalu telah mendorong pelakon kacak, Remy Ishak untuk tampil dengan idea serupa.
Namun kata Remy, itu bukan bermakna dia cuba hendak bersaing atau menutup peluang orang lain yang barangkali hendak berniaga di lokasi serupa tetapi sebaliknya mahu membuka peluang kepada semua pihak yang berminat untuk berniaga di bulan Ramadan menerusi Santai Lebaran Fiesta 2015.
Bahkan kata pelakon yang mula dikenali dengan drama rantaian, Nur Kasih itu lagi, Erma sendiri memberi sokongan kepadanya untuk menganjurkan program tersebut dan akan terlibat dalam aktiviti perniagaan di hujung minggu sahaja sepanjang tiga minggu ia berlangsung kelak.
“Penganjuran acara ini bukan hanya dikhususkan untuk perniagaan semata-mata tetapi ia juga adalah salah satu acara saya untuk berbuat amal dengan membantu mereka yang memerlukan.
“Saya harus akui bahawa saya sangat gementar untuk menganjurkan acara seperti ini kerana ia merupakan kali pertama saya berbuat demikian. Sesungguhnya saya sangat teruja untuk melihat respons yang akan diberikan kelak oleh peniaga,” jelas Remy tanpa selindung ketika ditemui pada sidang media pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani serta Nad Zainal dan Sherry Al Hadad yang merupakan dua daripada 10 orang selebriti yang terlibat dengan Santai Lebaran Fiesta 2015 kelak.
Menyambung bicaranya, pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak ini menjelaskan dia cukup teruja dan kagum melihat orang Melayu lewat kebelakangan ini yang gemar berniaga baik secara fizikal mahupun atas talian.
remy_nad1-m
Remy Ishak (tengah) bersama Mohamed Juhari Shaarani (dua dari kiri) serta dua artis yang terlibat dalam Santai Fiesta Lebaran 2015, Nad Zainal (dua dari kanan) dan Sherry Al Hadad (kanan) pada sidang media yang berlangsung minggu lalu. – Foto TRP/Wan Kah Hoong
Atas kesedaran itu jugalah, dia terpanggil untuk menganjurkan acara ini menerusi syarikatnya sendiri, Aaktor Play Pause dengan harapan lebih banyak pihak akan tampil untuk sama-sama terlibat dalam Santai Lebaran Fiesta 2015 yang akan bermula pada 25 Jun hingga 16 Julai ini di perkarangan IB.
Bagi memastikan penganjuran sulung acara itu berjalan lancar kelak, Remy memberitahu dia akan menumpukan sepenuh perhatian kelak dengan turun padang hampir setiap hari dan menganggapnya sebagai tugas barunya sepanjang Ramadan ini.
“Seperti mana yang saya katakan, ia tidak terhad kepada urusan jual beli semata-mata tetapi juga mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak baik secara orang perseorangan atau syarikat bagi mengisi tabung dana sekolah tahfiz, Mahaad Tahfiz Aman Bistari yang dianggarkan sebanyak RM1.7 juta.
“Disebabkan itu jugalah, saya menampilkan tiga elemen penting untuk acara ini iaitu kebaikan, keriangan dan barakah dengan harapan Santai Lebaran Fiesta 2015 akan mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata pelakon berusia 33 tahun itu lagi penuh optimis.
Tambah Remy lagi, untuk acara itu, sebanyak 40 hingga 60 buah gerai telah disediakan dengan harga sewa yang berpatutan iaitu RM3,300 baik kepada orang biasa mahupun selebriti yang berminat untuk menyertai acara ini.
Ketika ditanya tentang penyertaan selebriti untuk Santai Lebaran Fiesta 2015, buat masa ini kata Remy, selain Nad dan Sherry, nama-nama seperti Erra Fazira, Serina Redzuawan, Puteri Balqis dan Shuib Sepahtu sudah pun memberikan pengesahan mereka.
“Slot masih dibuka kepada semua pihak termasuk selebriti yang berminat. Namun, saya ingin tegaskan di sini bahawa seandainya ada yang mahu berniaga makanan, pastikan ia adalah makanan kering dan bukannya basah atas sebab-sebab tertentu serta peraturan yang telah ditetapkan,” katanya yang akan muncul dengan telemovie, Pesan Dari Tuhan arahan Erma pada 28 Jun ini.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Santai Lebaran Fiesta 2015, bolehlah hantarkan permohonan anda ke santailebaran@gmail.com atau hubungi talian 012-9488864 (Sue)/016-9799817 (Shawn). Keterangan lanjut juga boleh didapati dengan menggunakan hashtag #SantaiLebaran2015.

Tiada ulasan: