Isnin, 18 Mei 2015

Zulfahmi Khairuddin kutip mata pertama di GP Perancis

63khairuddin_img_1191_slideshow_169


KUALA LUMPUR, 18 Mei:

Penunggang pasukan Drive M7 SIC Racing mencatat keputusan terbaik masing-masing untuk musim ini apabila Jakub Kornfeil berjaya menduduki tempat keenam sementara Zulfahmi Khairuddin menduduki tempat ke-14 pada Grand Prix Motosikal Peranchis.
Zulfahmi yang memulakan perlumbaan pada kedudukan grid ke-30 dan terpaksa mengelakkan pelanggaran pada pusingan pertama berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, sekaligus mengutip mata pertamanya untuk musim ini.
“Permulaan saya berlepas dengan baik tetapi semasa tiba di selekoh kedua, seorang penunggang terbabas di depan saya dan saya terpaksa mengelak motosikal yang berada di tengah-tengah trek.
“Langkah demi langkah saya cuba mendapatkan rentak dan mencatat masa pusingan yang baik serta berjaya memotong beberapa pelumba. Beberapa penunggang turut kemalangan tetapi ini pelumbaan yang baik bagi saya kerana kami mencipta kejayaan,” kata Zulfahmi dalam kenyataan.
Rakan sepasukan beliau, Kornfeil dari Republik Czech menunggang dengan baik untuk mengekalkan kedudukan serta berada dalam kumpulan pendahulu sepanjang 24 pusingan.
Berazam untuk mengutip mata penting perlumbaan, Kornfeil berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam sekaligus melonjakkan kedudukan keseluruhan beliau pada kejuaraan Moto3 di tempat ke-14.
“Saya sangat gembira dengan kedudukan keenam dan saya gembira untuk pasukan kerana saya dan Fahmi melakukan yang terbaik dan kami menamatkan perlumbaan dengan mengutip mata, jadi ia sangat baik.
Setakat ini ia merupakan keputusan terbaik untuk saya pada tahun ini walaupun saya berasa tidak pada tahap terbaik pada perlumbaan ini.
“Terus-terang, sebelum perlumbaan saya tidak menjangkakannya, jadi saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami mengutip 10 mata hari ini dan Fahmi memperoleh dua mata jadi ia keputusan yang baik untuk pasukan. Kami berasa positif dan lebih penting kami mencatat peningkatan sepanjang masa,” katanya.

Tiada ulasan: