Kami di Sukacuka yakin masih ramai terutamanya penyokong Terengganu tertanya-tanya samada keputusan pengadil membatalkan gol yang dijaringkan Terengganu adalah tepat ataupun sebaliknya.
Dipetik dari BHarian, keputusan pengadil adalah 100% tepat.
Keputusan pengadil membatalkan jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu lalu adalah 100 peratus tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Goh Ah Chai menjelaskan bahawa berdasarkan Laporan Penilaian Pengadil dan analisa video, jelas menunjukkan pemain Terengganu itu berada pada kedudukan ofsaid dan hanya seorang pemain pertahanan Lions XII, Nazrul Nazari berada di belakangnya.
“Undang-undang bola sepak tidak menyebut bahawa penjaga gol mestilah menjadi pemain pertahanan terakhir dan ini bermaksud, mana-mana pemain pasukan lawan boleh menjadi pemain terakhir dan pemain kedua terakhir.
“Selain itu, pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob juga membatalkan gol tersebut selepas mendapat bantuan daripada penolong pengadil, Azman Ismail,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, di sini, hari ini.
Sementara itu, Instruktur Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), C Ravichandran berkata situasi yang sama pernah berlaku pada pembukaan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, apabila pengadil perlawanan membatalkan jaringan Mexico ketika menentang pasukan tuan rumah.
Keputusan pengadil membatalkan jaringan keempat skuad ‘Penyu’ menyebabkan pasukan itu tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA apabila Lions XII mara ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan, selepas keputusan agregat terikat 4-4.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan