Khamis, 8 Januari 2015

Kerajaan digesa Tubuh suruhanjaya diraja SIASAT skandal BALAK di Kelantan



Kerajaan digesa menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal pembalakan di Kelantan yang didakwa menjadi punca utama berlakunya bencana banjir luar biasa di negeri itu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, K. Ramesh Rao berkata, suruhanjaya itu perlu dibarisi panel-panel bebas terutama yang pakar dalam alam sekitar bagi mengelakkan pengaruh politik dalam siasatan.

“Saya ada dokumen mengan­dungi senarai nama pemimpin kerajaan Pas Kelantan yang terlibat dalam skandal ini sama ada bekas atau yang masih menjadi Exco. Dianggarkan kekayaan yang telah mereka kaut daripada pembalakan itu mencecah RM600 juta dan di­simpan dengan ‘selamat’ di luar negara terutama di selatan Thailand.

“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya tersebut nanti dengan menyerahkan dokumen berkenaan.

Namun, selagi suruhanjaya tidak ditubuhkan, selagi itu dokumen ini tidak akan didedahkan,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ramesh, kegagalan projek Ladang Rakyat antara contoh penyelewengan yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan dan perkara tersebut diakui Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang dalam laporannya sebelum ini.

“Kerajaan negeri kononnya menebang balak bagi membuka tanah supaya boleh menanam kelapa sawit. Tetapi tanah digondol, balak diambil, kelapa sawit tidak nampak,’’ tegasnya.

Beliau menambah, tidak masuk akal jika banjir di Kelantan dikatakan berpunca daripada hujan semata-mata.

“Kalau di Terengganu, banjir di sana senario biasa. Tidak sampai hanyutkan rumah. Tidak nampak balak tersadai di tengah jalan. Tetapi di Kelantan, kita nampak balak atas rumah, di tengah jalan.
“Saya sendiri berada di sana ketika menghantar bantuan, saya lihat tanah dari bukit yang dibawa air meluncur dengan luar biasa, macam tiada benteng menahan tanah itu ke bawah,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau menempelak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini begitu lantang dalam memperjuangkan isu alam sekitar tetapi seolah-olah tidak nampak perkara yang berlaku di Kelantan.

“Sebagai contoh dalam isu Lynas, mereka boleh buat demonstrasi di sana sini, tetapi apa yang berlaku di Kelantan mereka tidak nampak. Kenapa tidak turun ke sana buat demonstrasi?’’ soalnya.

Tiada ulasan: