Khamis, 6 November 2014

(DULU ISLAM SEKARANG LIBERAL) Hanipa Maidin DULU minta HARAMKAN SIS, SEKARANG Pertahankan SIS





YB MOHAMED HANIPA MAIDIN DI DALAM DUA WAJAH BERBEZA

Pada 15 April 2005, YB Mohamed Hanipa Maidin selaku Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat mengetuai sekumpulan ahli Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan demonstrasi aman di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, bagi menuntut supaya Perdana Menteri membatalkan pendaftaran Sisters In Islam dan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengharamkan Sisters In Islam.

Pada 4 November 2014, YB Mohamed Hanipa Maidin selaku Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Parlimen Sepang menyatakan bahawa tindakan mengharamkan Sisters In Islam adalah “terlalu drastik” kerana “Islam menyuruh umatnya berfikir dan berdialog terlebih dahulu” dan kerana “kita kena lihat negara ini rakyat ada kebebasan bercakap selagi mana kebebasan tidak mengganggu ketenteraman awam”.

SISTERS IN ISLAM SOKONG HAK ORANG ISLAM UNTUK MURTAD

Sebenarnya agak banyak juga pendirian Sisters In Islam yang menimbulkan kontroversi di dalam masyarakat. Di antara pendirian Sisters In Islam yang menimbulkan kontroversi ini ialah pendiriannya mengenai kebebasan beragama, di mana pendirian Sisters In Islam mengenai kebebasan beragama ini terkandung di dalam dua kenyataan medianya.

Kenyataan media pertama Sisters In Islam mengenai kebebasan beragama adalah bertajuk “Malaysian Government Must Take a Brave and Principled Stand to Respect Freedom of Religion” yang dibuat olehnya pada 27 Julai 2005 yang di antara lainnya berbunyi: “How can religious authorities and Muslims demand that those wishing to convert to Islam should have all the freedom to do so yet at the same time deny this freedom to Muslims who wish to leave their faith or believe otherwise?” (Terjemahannya: "Bagaimana pihak-pihak berkuasa agama dan orang-orang Islam boleh menuntut bahawa mereka yang mahu memeluk Islam perlu mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian tetapi pada masa yang sama menafikan kebebasan ini kepada orang-orang Islam yang mahu meninggalkan agama mereka atau percaya sebaliknya?”).

Kenyataan media kedua Sisters In Islam mengenai kebebasan beragama adalah bertajuk “Freedom of Religion” yang dibuat olehnya pada 9 November 2012 yang di antara lainnya berbunyi: “Freedom of religion must recognise the freedom to change religion. How can Muslims demand this notion of religious freedom for those wishing to convert to Islam and at the same time argue the denial of this freedom to leave Islam for those who no longer believe?” (Terjemahannya: "Kebebasan beragama mesti mengandungi kebebasan untuk menukar agama. Bagaimana orang-orang Islam boleh menuntut idea kebebasan beragama kepada mereka yang mahu memeluk Islam dan pada masa yang sama menafikan kebebasan untuk meninggalkan Islam kepada mereka yang tidak lagi percaya?”).

SISTERS IN ISLAM SENGAJA CABAR TINDAKAN DIAMBIL KE ATASNYA?

Tanpa ingatan dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di dalam titah beliau hari ini sekalipun, Sisters In Islam memang tahu bahawa tindakan mempertikaikan sesuatu fatwa adalah satu kesalahan jenayah yang akan menyebabkan pelakunya berhadapan dengan hukuman di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. 

Seksyen 12 ini jelas memperuntukkan bahawa: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan:- 
(a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam; 
(b) Majlis (Agama Islam Selangor); 
(c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Hakikat bahawa Sisters In Islam memang tahu bahawa tindakan mempertikaikan sesuatu fatwa adalah satu kesalahan jenayah terserlah di dalam kenyataan medianya bertajuk “SIS: Procedure for Legislating Fatwas Un-Islamic and Undemocratic” yang dibuat pada 22 Julai 2013. Kenyataan media ini adalah berbunyi: “After approval by the State Executive Council and the Sultan, a fatwa only needs to be gazetted to become law. It is not tabled for debate in the legislative body. Any violation of the fatwa is a criminal offence. Any effort to dispute or to give an opinion contrary to the fatwa is also a criminal offence.” (Terjemahannya: “Setelah diperkenankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Sultan, sesuatu fatwa hanya perlu digazet untuk menjadi undang-undang. Ia tidak dibentangkan untuk perbahasan di dalam Dewan Undangan Negeri. Apa-apa perlanggaran ke atas fatwa adalah satu kesalahan jenayah. Apa-apa usaha untuk mempertikaikan atau untuk memberikan satu pandangan yang berbeza dengan fatwa juga adalah satu kesalahan jenayah.”).

Di sebalik pengetahuannya bahawa tindakan mempertikaikan sesuatu fatwa adalah satu kesalahan jenayah, Sisters In Islam tetap juga mempertikaikan dengan secara terbuka fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor yang menyatakan bahawa “SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” malah turut memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2014 ke atas fatwa ini.

Persoalannya ialah mengapa Sisters In Islam masih berani berbuat demikian walaupun mengetahui ia salah? Gedeber sungguh Sisters In Islam ini, seolah-olah sengaja mencabar Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Sultan Selangor supaya bertindak ke atasnya pula.


Tiada ulasan: